صبر
Umat tak berputus asa berdepan ujian merupakan penanda aras ketinggian darjat keimanan hati, takwa satu nilai
peribadi mukmin mesti ada dalam diri ialah kesabaran kerana banyak keterangan
daripada al-Quran dan pesanan Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sabar
adalah nilai dimiliki setiap mukmin yang beriman. Sabar senjata paling ajaib
kepada setiap Mukmin untuk berdepan sebarang keadaan dalam menyusuri
aliran kehidupan di dunia. Ia juga jalan terbaik menuju kejayaan dan
kebahagiaan. Tiada jalan penyelesaian terbaik melainkan mengamalkan
sikap sabar. Allah ada menyebut kira-kira 90 kali dalam al-Quran tentang "sabar".
Imam Ahmad dalam kitabnya, az-Zuhud, ada memetik
kata-kata Saidina Umar al-Khattab:
“Kami dapati sebaik-baik
kehidupan kami adalah dengan kesabaran.”
Sikap sabar terangkum
dalam sabar badani atau fizikal dan sabar nafsi. Kedua-dua sifat
sabar itu pula dapat dipecahkan kepada dua lagi iaitu ikhtiyari atau
pilihan dan idtirari atau keterpaksaan. Sabar badani ikhtiyari itu
adalah sikap sabar ketika melaksanakan sesuatu amalan atau kerja yang
berat.
Sabar badani idtirari pula bersabar menahan rasa sakit,
contohnya menahan rasa sakit dipukul. Di sini seseorang itu tiada
pilihan melainkan terpaksa bersabar. Sabar nafsi ikhtiyari ialah
sabar untuk tidak melakukan sesuatu dianggap bertentangan syariat.
Sabar nafsi idtirari pula seperti orang yang bersabar tatkala
kehilangan atau kematian seseorang dikasihinya. Dalam keadaan
sedemikian, jika seseorang itu tidak bersabar maka akan terjadi
pelbagai tingkah laku menyalahi kehendak agama seperti menangis
secara melampau atau menjerit-jerit sebagai tanda sedih. Ini semua
bertentangan syariat agama.
Dikisahkan, ada seorang ahli hikmah
berkata:
“Aku tidak pernah kalah kecuali oleh seorang pemuda yang
pintar. Suatu hari, anak muda itu bertanya kepadaku, apakah sabar
itu? Lalu akupun menjawab, jika kami memiliki makanan, maka kami
makan dan jika tiada makanan, kami akan bersabar. Pemuda itu kemudian
berkata lagi:
“Jika itu, biasa dilakukan oleh anjing di kampung
kami. Terdiam seketika aku mendengar kata-kata pemuda itu. Seketika
kemudian, aku bertanya kepada anak muda itu: Wahai anak muda, jika
demikian apa sebenarnya makna sabar? Pemuda itu dengan tenang
menjawab: “Jika kami tidak ada makanan maka kami bersabar, dan
sebaliknya jika kami dikurnia Allah makanan, maka kami biasakan
amalan itsar, mendahulukan orang lain.”
Sikap sabar menjadi penanda
aras kepada mantapnya iman dan takwa seseorang mukmin.
Sabda
Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah berfirman: Jika aku menguji
hamba-Ku dengan hilangnya dua hal yang sangat dicintainya (dua
matanya) kemudian dia boleh bersabar, maka akan Aku ganti keduanya
dengan syurga.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).
Ini bermakna seseorang
mukmin yang bersabar atas apa saja penderitaan dan musibah
menimpanya, Allah menjanjikan balasan syurga. Kesabaran sifat yang
boleh diusahakan manakala pada sesetengah orang memang dikurniakan
Allah sifat sabar. Untuk berlatih menjadi penyabar itu sesuai dengan
pesanan Rasulullah SAW bermaksud:
“Dan barang siapa yang berusaha
bersabar maka Allah akan menyabarkannya.” Sifat sabar menghadapi
apa juga dugaan dan ujian Allah satu kebaikan yang agung, malah Nabi
SAW menjelaskan sabar itu cahaya dalam sabda yang bermaksud:
“Solat
adalah sinar, sedekah adalah bukti, sabar adalah cahaya dan al-Quran
adalah hujah bagimu.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Permasalahan
kehidupan kita tidak seperit dan seteruk pengalaman Nabi Muhammad SAW
dan sahabat menyebarkan Islam di Makkah. Jadi seharusnya kita
sentiasa memperingatkan diri supaya tidak mudah berputus asa atau
mengambil sikap pesimis apabila bertembung ujian dalam kehidupan.
Diriwayatkan suatu ketika Nabi SAW melalui hampir dengan seorang
perempuan yang sedang menangis di sebelah kubur. Lalu Nabi SAW pun
berkata kepadanya:
“Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Lalu
perempuan itu menjawab:
"Jauhkan daripadaku! kerana engkau tidak
pernah mendapat musibah seperti aku.”
Sebenarnya perempuan itu
tidak mengetahui yang berpesan kepadanya itu adalah Rasulullah SAW.
Kemudian Nabi meninggalkan perempuan itu. Nabi SAW langsung tidak
menunjukkan rasa kecewa dan marah atas kata-kata perempuan itu.
Ini
satu contoh terbaik buat kita semua khususnya pendakwah supaya
sentiasa berhati lembut dan sabar dengan apa saja kerenah manusia.
Apabila saja diberitahu orang yang berpesan kepadanya di kawasan
kubur itu adalah Rasulullah SAW, maka dia pun bergegas menuju ke
rumah Baginda untuk memohon ampun. Namun, malang sekali, tatkala
sampai di rumah Nabi SAW, Baginda tiada pada masa itu.
Kemudian
ketika bertemu Rasulullah SAW, perempuan itu berkata:
“Maaf, saya
tadi tidak melihat engkau wahai Rasulullah. Nabi SAW berkata,
“Sesungguhnya, kesabaran itu ada pada masa pertama.” (Hadis
riwayat Bukhari)
Demikian penting nilai sabar dalam diri setiap
mukmin dan kita hendak mula bersabar dengan apa saja musibah menimpa
dan anggaplah ia sebagai ujian Allah kepada kita untuk menilai darjat
keimanan dan ketinggian takwa. Mukmin yang penyabar adalah mukmin
yang unggul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan